KUALA LUMPUR, 19 September 2011 – Astro ternyata terus mengotakan janjinya dalam memberikan pengalaman menonton yang berbeza dengan membawakan sebuah program realiti masakan popular berjudul MasterChef Malaysia. Terbaru, Astro mengumumkan barisan juri yang akan mengemudi program ini dan senarai 40 peserta yang berjaya menempatkan diri dalam MasterChef Malaysia. Rancangan yang sudah lama dinantikan oleh penonton di Malaysia ini bakal bersiaran bermula 22 Oktober ini di Astro Ria (saluran 104) dan MasterClass (Kuliah Master) di STAR World (saluran 711) bermula 27 Oktober 2011.
Lima orang juri yang diumumkan bukan sahaja akan menilai keupayaan dan perkembangan para peserta, malah akan bertindak mengemudi rancangan ini. Mereka adalah Mohd Nadzri Redzuawan, 29 (Chef Riz), Moh Johari Edrus, 55 (Chef Jo), Zubir Bin Md.Zain, 45 (Chef Zubir), Yahaya bin Hassan, 49 (Chef Yahaya) dan Priya Menon.
*Sila rujuk lampiran untuk profil juri
*Sila rujuk lampiran untuk profil juri
Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Encik Khairul Anwar Salleh berkata, "Sebagai sebuah saluran hiburan Melayu unggul yang menawarkan hanya program-program menarik, Astro Ria amat berbangga kerana bakal menayangkan sebuah program yang lama dinantikan oleh rakyat Malaysia ini. Kehadiran barisan juri yang disegani serta mempunyai latar belakang dan pengalaman yang luas dalam bidang masakan ini pastinya akan memberikan impak yang terbaik kepada program ini dan para peserta seharusnya mengambil peluang ini untuk mencedok segala ilmu dan teknik yang dikongsi mereka.
Sementara itu, 40 orang peserta yang terpilih rata-rata mempunyai kualiti yang baik dan berpotensi untuk pergi jauh. Mereka datang daripada pelbagai latarbelakang seperti pelakon, doktor pergigian, pereka fesyen, penoreh getah dan pelajar universiti. Sewaktu di Bootcamp, kesemua peserta terpaksa mengharungi beberapa siri rintangan dan penyingkiran sebelum 24 peserta terbaik berjaya meneruskan perjalanan mereka dalam MasterChef Malaysia. Pada penghujung rancangan ini, hanya seorang akan dinobatkan sebagai juara MasterChef Malaysia.
*Sila rujuk lampiran untuk profil 40 peserta terbaik
*Sila rujuk lampiran untuk profil 40 peserta terbaik
Pada majlis ini juga turut diumumkan koloborasi Astro Ria dan Fox International Channels dalam menyiarkan MasterChef Malaysia. Sebagai salah sebuah saluran hiburan utama di Astro, STAR World telah menyiarkan MasterChef dan MasterClass selama dua tahun berturut-turut. Justeru itu, Fox International Channels dan STAR World amat berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan Astro Ria buat pertama kalinya dengan menerbitkan rancangan ini dalam versi Malaysia untuk mengukuhkan jenama MasterChef dan berusaha menarik minat para penonton di negara ini dengan menyuntik pelbagai elemen tempatan.
STAR World akan menyiarkan Kuliah Master (MasterClass) yang akan menampilkan ramai selebriti dan para selebriti chef manakala program-program yang lain akan diudarakan di Astro Ria. Sebanyak enam program akan ditayangkan selama seminggu iaitu Peti Saji Misteri & Ujian Cipta Rasa (Sabtu), Ujian Sajian Pantas dan Penyingkiran (Ahad), Cabaran Chef Selebriti (Isnin), Cabaran Sajian Luar (Selasa), Penyingkiran (Rabu) dan Kuliah Master (Jumaat).
*Sila rujuk lampiran untuk informasi program
*Sila rujuk lampiran untuk informasi program
Khairul berkata, "Penggabungan ini merupakan suatu bentuk kerjasama yang terbaik bagi mempromosikan program ini kepada seluruh rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat. Secara tidak langsung, MasterChef Malaysia akan menonjolkan pelbagai keunikan budaya masyarakat di negara ini. Setelah sekian lama kita hanya menonton kehebatan peserta dari negara Barat seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia di televisyen, kini sudah tiba masanya kita menonjolkan bakat anak-anak tempatan dalam MasterChef Malaysia.
Rancangan ini bermula pada tahun 2009 di Australia dan mengukir sejarah tersendiri apabila mencatatkan jumlah penonton tertinggi di sana untuk rancangan bukan sukan iaitu seramai 4 juta penonton pada peringkat akhir tahun 2010. Fenomena hebat ini diteruskan oleh MasterChef UK yang turut menayangkan rancangan ini di 145 negara. Turut menjadi perhatian adalah MasterChef US dan MasterChef France yang semakin popular dikalangan jutaan penonton diseluruh dunia.
"Di kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan terima kasih sekaligus mengalu-alukan kehadiran PANASONIC 'Cooking Magic' selaku penaja utama MasterChef Malaysia. Setinggi-tinggi penghargaan juga kami rakamkan kepada penaja bersama iaitu Hong Leong Bank, Jaya Grocer, Maggi, MyChef dan NeuVida Omega-9 Cooking Oil. Sokongan yang diberikan oleh pelbagai pihak terhadap rancangan ini menaikkan lagi semangat kami untuk untuk menayangkan MasterChef Malaysia", tambah Khairul lagi.
Jangan lupa untuk menyaksikan MasterChef Malaysia dengan episod Peti Saji Misteri dan Ujian Cipta Rasa di Astro Ria (saluran 104) bermula 22 Oktober 2011 dan Kuliah Master di Star World (saluran 711) bermula 27 Oktober 2011 manakala Kuliah Master di Astro Ria (saluran 104) akan bermula minggu berikutnya pada 4 November 2011. Selamat menonton!
MasterChef memberikan inspirasi dan peluang kepada chef baru mencungkil bakat mereka dalam bidang masakan dan dilatih oleh mereka yang berpengalaman di dalam industri masakan.Rancangan ini akan membuka ruang kepada chef chef ini untuk mengubah kerjaya, impian dan aspirasi kehidupan mereka ke suatu tahap yang boleh dibanggakan.
MasterChef Malaysia mempunyai format yang berbeza dalam setiap episod. Format episod tipikal adalah seperti berikut:
MasterChef Malaysia mempunyai format yang berbeza dalam setiap episod. Format episod tipikal adalah seperti berikut:
- Hari Sabtu adalah cabaran Peti Saji Misteri. Setiap peserta diberi kotak yang mengandungi bahan-bahan masak yang sama dan perlu menyediakan suatu hidangan yang menggunakan bahan-bahan yang diberikan saja. Hidangan ini akan dirasakan oleh Chef MCM, dan seorang pemenang akan dipilih. Pemenang Peti Saji Misteri akan diberi peluang untuk memilih sajian utama untuk cabaran Ujian Cipta Rasa. Peserta-peserta perlu mencipta satu hidangan dengan menggunakan Sajian Utama yang dipilih itu.
- Hari Ahad membawakan Ujian Sajian Pantas ataupun Penyingkiran Uji Rasa. Tiga peserta yang tidak dapat memuaskan Chef MCM dari cabaran malam sebelumnya akan diberikan resipi untuk satu hidangan tertentu. Mereka perlu menghasilkan hidangan yang sama dalam masa yang diperuntukkan. Peserta yang membuat hidangan yang kurang memuaskan akan disingkir dari pertandingan ini.
- Hari Isnin - Cabaran Chef Selebriti, di mana pemenang cabaran hari Sabtu akan bersaing dengan seorang chef tetamu. Pemenang cabaran ini akan dianugerahkan satu pin imuniti yang membenarkan peserta ini mengelakkan satu penyingkiran.
- Hari Selasa membawakan Cabaran Sajian Luar. Para peserta akan dibahagikan kepada pasukan yang terdiri daripada bilangan yang sama dan diberi tugas dan jangka masa yang ditetapkan untuk melengkapkan cabaran ini. Tugas adalah seperti memasak untuk fungsi tali leher hitam atau kem tentera. Pasukan yang kalah akan menghadapi penyingkiran malam seterusnya.
- Hari Rabu merupakan satu lagi pusingan penyingkiran. Peserta dalam pasukan kalah bersaing antara satu sama lain untuk menyingkirkan seorang lagi perserta dari pertandingan ini.
- Hari Sabtu juga adalah Kuliah Master. Di sini, para hakim menjalankan satu kuliah untuk peserta yang masih tinggal dalam pertandingan ini. Biasanya, para hakim meninjau kembali cabaran yang telah diadakan dalam minggu yang lalu.
Episod 1, Sabtu, 22 Oktober 2011 : Dalam episod pengenalan ini memaparkan 3 juri professional iaitu Chef Jo, Chef Priya dan Chef Yahaya mengalu-alukan kedatangan 40 peserta teratas Masterchef Malaysia (Top 40) di Bootcamp. Para peserta kemudiannya melalui Ujian Kemahiran yang pertama iaitu memotong dadu bawang kuning. Sekiranya gagal menepati kualiti dan standard yang ditetapkan, mereka perlu mengulangi ujian tersebut sehingga para juri berpuas hati. 30 peserta terselamat, manakala 10 peserta yang tercorot haruslah melalui Ujian Ciptarasa. Siapakah yang bakal diundang untuk mengadili para peserta didalam Ujian Cipta Rasa? Jangan ketinggalan untuk menonton episod pertama MasterChef Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan